17/04/2017

30 Hari Sarat Berpahala, Di Balik Ramadan

Sempena kedatangan Ramadan yang lepas, kita ingin membongkar beberapa angka dan fakta menarik yang hanya berlaku pada bulan mulia ini. Pembongkaran ini penting supaya kita menyedari bersama-sama akan keistimewaan dan kelebihannya berbanding bulan lain, sekali gus memotivasikan diri untuk memanfaatkan Ramadan yang dirindui sebaik mungkin.


Percaya atau tidak, sedar atau tidak, kita sebenarnya boleh berusaha untuk bersolat sebanyak lebih 1000 rakaat hanya di dalam bulan Ramadan. Bagaimana? Baik, mari kita kira bersama.
  1. Di dalam sehari, kita telah bersolat sebanyak 17 rakaat untuk semua solat fardu
  2. Di dalam sehari juga, kita boleh melakukan solat sunat sebagaimana berikut:

  • Solat sunat rawatib sebanyak 10 rakaat (2 rakaat sebelum subuh, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat sebelum asar, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isyak)
  • Solat sunat tarawih sebanyak 8 rakaat
  • Solat sunat witir sebanyak 3 rakaat
  • Solat sunat duha sebanyak 2 rakaat
  • Solat sunat tahajud sebanyak 2 rakaat

Baiklah, sekarang mari kita jumlahkan kesemua rakaat tersebut:

17+10+8+3+2+2= 42 rakaat sehari

Ramadan ada 30 hari. Maka kita darabkan jumlah rakaat tadi dengan 30. Oleh itu, jawapannya seperti berikut:

42 rakaat x 30 = 1260 rakaat! 

Subhanallah, angka itu belum ditambah dengan solat sunat seperti taubat, tasbih bahkan juga belum dikira jika kita menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat.

Kita pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mendirikan solat tarawih yang sangat eksklusif kerana dilakukan hanya ketika bulan ini, apatah lagi saranan Nabi yang menawarkan kebaikannya.

Rasulullah memberitahu: “Sesiapa yang mendirikan solat (tarawih) pada malam hari Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Allah berfirman: “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam itu hingga terbit ajar.” (Surah al-Qadr 97: 3-5)

Sebagaimana yang dimaklumi, pahala orang yang beribadah pada malam lailatulqadar menyamai 1000 bulan. Ia menyamai juga dengan lebih kurang 83 tahun.

Jangka hayat umur umat Nabi Muhammad s.a.w. jika dirujuk kepada rasul sendiri iaitu sekitar 60 hingga 70 tahun.

Jika dikira bermula dari umur baligh sehingga umur mati seseorang lelaki dalam kalangan umat Nabi Muhammad dan diandaikan beliau mendapat lailatulqadar pada setiap Ramadan dalam tahun tersebut, pengiraannya seperti berikut:

Mula umur baligh lelaki = 15 tahun
Umur mati = 60 tahun

Jumlah masa yang diberi oleh Allah untuk hamba-Nya itu mengumpul pahala ialah:

60 tahun - 15 tahun = 45 tahun

Sekiranya beliau mendapat lailatulqadar ketika setiap bulan Ramadan pada setiap tahun, jumlah pahala yang beliau perolehi ialah seperti berikut:

1000 bulan = 83 tahun
83 tahun x 45 tahun = 3735 tahun

Angka di atas menunjukkan bahawa beliau akan memperoleh pahala sama seperti orang yang beribadah selama 3735 tahun!


Melalui pendedahan angka-angka di atas, didoakan semoga ia menjadi penguat kepada kita untuk beribadah dengan sebaiknya di bulan Ramadan. Mudah-mudahan apabila Hari Raya Aidilfitri, kita benar-benar mengecapi kebahagiaan dan ketenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sebulan di bulan Ramadan. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang istiqamah mentaati-Nya untuk bulan-bulan seterusnya. Insya-Allah.

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.59

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon